Daripada Saiyidina Abu Zar al-Ghifari r.a bahawa Nabi
meriwayatkan daripada Allah SWT. Dia berfirman: “Wahai hamba-Ku,
sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman bagi diri-Ku dan Aku
jadikannya haram antara kamu. Maka, janganlah kamu berlaku zalim
sesama kamu. Wahai hamba-Ku, kamu berada dalam kesesatan melainkan
orang yang Aku berikan kepadanya petunjuk. Oleh itu, mintalah petunjuk
daripada-Ku nescaya Aku akan berikan petunjuk kepada kamu. Wahai
hamba-Ku, kamu berada dalam keadaan lapar melainkan orang yang Aku
berikan makanan kepadanya. Maka, mintalah makanan daripada-Ku
nescaya Aku akan berikan makanan kepada kamu. Wahai hamba-Ku, kamu
tidak berpakaian melainkan orang yang Aku berikan pakaian kepadanya.
Maka, mintalah pakaian daripada-Ku nescaya Aku akan berikan pakaian
kepada kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu melakukan
kesalahan siang dan malam dan Aku bersedia mengampuni kesemua
dosa. Maka, mintalah keampunan-Ku nescaya Aku akan mengampuni
kamu. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi
mudarat sehingga boleh memudaratkan-Ku, dan kamu juga tidak akan
dapat memberi manfaat sehingga boleh memberi manfaat kepada-Ku.
Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang terdahulu dan
kemudian menjadi orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu,
keadaan itu sedikit pun tidak menambah (kemuliaan dan kehebatan)
kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia dan jin, yang
terdahulu dan kemudian menjadi orang yang paling derhaka dalam
kalangan kamu, keadaan itu sedikit pun tidak mengurangkan (kemuliaan
dan kehebatan) kerajaan-Ku. Wahai hamba-Ku, sekiranya semua manusia
dan jin, yang terdahulu dan kemudian berhimpun di satu dataran yang
luas dan mereka memohon hajat masing-masing lalu Aku tunaikan setiap
permintaan mereka, keadaan itu sedikit pun tidak akan mengurangkan
khazanah-Ku melainkan seumpama celupan sebatang jarum ke dalam
lautan sahaja. Wahai hamba-Ku, sesungguhnya inilah amalan kamu. Aku
catatkan kesemuanya untuk kamu, kemudian Aku akan sempurnakan
untuk kamu balasannya (di akhirat). Maka, sesiapa yang mendapat
kebaikan (pahala dan kehidupan yang baik) hendaklah dia memuji Allah
SWT. Sesiapa yang mendapat selain itu (keburukan) janganlah dia
salahkan melainkan dirinya sendiri.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.