Daripada Saiyidina Mu‘az bin Jabal r.a berkata: “Aku
bertanya, “Wahai Rasulullah, beritahulah kepadaku amalan yang dapat
memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkan aku daripada neraka.”
Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya, kamu telah bertanya tentang
perkara yang amat besar. Namun, sebenarnya ia mudah bagi sesiapa yang
dimudahkan oleh Allah SWT. Kamu menyembah Allah Taala, tidak
menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, mendirikan solat,
mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan mengerjakan
haji di Baitullah.” Kemudian Baginda SAW bersabda: “Mahukah aku
tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai, sedekah itu
menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api dan solat
seseorang yang didirikan pada tengah malam.”
Kemudian Baginda SAW (menerangkan fadilat solat malam dengan)
membaca ayat yang bermaksud: “Mereka menjauhkan (diri) mereka
daripada tempat tidur (sedikit sangat tidur kerana menunaikan solat
tahajud dan amalan soleh), mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa
takut (akan kemurkaan-Nya) dan ingin memperoleh lagi (keredaan-Nya),
dan mereka membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami
berikan kepada mereka. Maka, tiada seorang pun yang mengetahui
balasan yang disediakan yang telah dirahsiakan untuk mereka (tentang
segala jenis nikmat) yang amat indah dan menggembirakan hati sebagai
balasan bagi amalan soleh yang dilakukan oleh mereka.” (al-Sajdah: 16-
17). Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kamu
tentang asas bagi segala urusan (agama), tiangnya dan kemuncaknya?”
Aku berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Baginda SAW
bersabda, “Asas bagi segala urusan ialah Islam, tiangnya ialah solat dan
kemuncaknya ialah jihad.” Kemudian Baginda SAW bersabda, “Mahukah
aku beritahu kamu tentang perkara teras bagi semua perkara ini?” Aku
berkata, “Bahkan, beritahulah wahai Rasulullah.” Lalu Baginda SAW
memegang lidahnya yang mulia lantas bersabda, “Tahanlah lidahmu ini
daripada membinasakanmu.”
Aku berkata, “Wahai Nabi Allah, adakah kita pasti akan dihukum akibat
perkara yang kita tuturkan?” Baginda SAW bersabda, “Bertuah kamu!
Sebenarnya, hasil tuaian lidah manusia itulah yang banyak
menghumbankan mereka ke dalam neraka dalam keadaan muka
terlungkup.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi.