Loading...
Meeting

Hadis 25

Persaingan dalam Kebaikan

Daripada Saiyidina Abu Zar r.a juga bahawa sekumpulan sahabat Rasulullah SAW telah mengadu kepada Rasulullah SAW. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, golongan kaya telah membolot semua ganjaran pahala. Mereka mengerjakan solat seperti kami, mereka berpuasa seperti kami, namun mereka dapat bersedekah dengan harta kekayaan mereka.” Baginda SAW bersabda: “Bukankah Allah telah menjadikan untuk kamu sesuatu yang dapat kamu bersedekah dengannya? Sesungguhnya, setiap lafaz tasbih ialah sedekah, setiap lafaz takbir ialah sedekah, setiap lafaz tahmid ialah sedekah dan setiap lafaz tahlil ialah sedekah. Mengajak kepada kebaikan juga sedekah. Mencegah kemungkaran pun sedekah. Mengadakan hubungan kelamin juga dikira sedekah.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah jika seseorang itu memenuhi kehendak nafsu syahwatnya pun dia mendapat ganjaran pahala?” Baginda SAW bertanya, “Apa pandangan kamu sekiranya dia melakukannya dengan cara yang haram, bukankah dia akan berdosa? Maka, begitulah juga apabila dia melakukannya dengan cara yang halal pasti dia mendapat pahala.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.

PENGHAYATAN
  • Murid hendaklah berusaha mewujudkan persaingan yang sihat sesama mereka seperti bersaing dalam pencapaian akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya.
  • Murid hendaklah sentiasa berusaha melakukan kebaikan.
  • Murid hendaklah melazimi tasbih, tahmid, tahlil dan takbir kerana ganjarannya sangat besar
  • Murid hendaklah melibatkan diri secara aktif dalam program amar maaruf nahi mungkar yang dianjurkan oleh sekolah dan komuniti setempat.
  • Murid hendaklah bekerjasama dengan guru disiplin dan pengawas untuk mencegah salah laku disiplin di sekolah.
  • Murid hendaklah memelihara diri daripada terjebak "cinta monyet" kerana bukan sahaja mengundang dosa malah menjejaskan prestasi akademik.